Pengenalan Peserta: Heinen en Hopman

Heinen & Hopman merupakan sebuah syarikat yang mereka, membina dan memberi perkhidmatan sistem pemanasan bertaraf dunia, pengudaraan, penyaman udara dan penyejukan. Sistem-sistem ini memastikan suhu di dalam kapal lebih terkawal dan selesa, tidak mengira keadaan cuaca tempat kapal belayar. Selain itu, syarikat ini turut menawarkan sistem penapisan udara yang melindungi krew yang berada di dalam ruang dalaman kapal daripada ancaman kimia, biologi dan radioaktif.

Sebagai sebuah syarikat yang menyasarkan pasaran antarabangsa, Heinen & Hopman mempunyai beberapa cawangan di beberapa buah negara yang berbeza, antaranya Singapura. Namun begitu, berbeza kisahnya dengan Malaysia. Ini kerana, walaupun syarikat ini tidak mempunyai cawangan di Malaysia, mereka agak arif dengan pasaran di negara ini kerana mereka merupakan pembekal kepada Damen Shipyards di Malaysia. Kawasan tersebut telah diterokai oleh mereka dengan kerjasama beberapa syarikat subsidiari. Oleh itu, mereka berhasrat untuk menerokai lebih banyak peluang di Malaysia dan ini merupakan antara sebab mengapa mereka menyertai inisiatif Partners for International Business (PIB).

Eric van Dijk (Senior Marketing & Communication Specialist) dan Michel Veltman (Sales Manager) telah memaklumkan kepada kami bahawa program dalam jangka masa 3 tahun seperti PIB membuka peluang yang baik kepada Heinen & Hopman. Menurut van Dijk, program PIB yang dilaksanakan dalam jangka masa begini membolehkan syarikatnya untuk mendapatkan maklumat tentang pasaran Malaysia dengan jumlah pelaburan modal dan masa yang lebih rendah berbanding melakukannya sendiri tanpa menerusi apa-apa program. Bukan setakat itu, program ini juga disokong oleh pihak kerajaan. Ianya merupakan cara yang baik untuk mewujudkan kesedaran tentang syarikat dan produk mereka di Malaysia kerana mereka kurang dikenali di sini berbanding di Singapura. Di Singapura, mereka sudah membuka cawangan selama lebih dua puluh tahun.

Veltman juga menyatakan bahawa ini cara yang baik untuk membuka cabang baru bagi syarikat mereka kerana mereka belum lagi menerokai cabang kapal ketenteraan di Singapura setakat ini. Beliau merasakan Heinen & Hopman boleh meminjamkan kepakaran mereka dan memastikan kapal-kapal lebih selesa dan selamat melalui perkhidmatan mereka. Walaubagaimanapun, mereka akui yang mereka masih perlu berusaha untuk berkenalan dengan pihak ketenteraan dan bekerjasama dengan pihak limbungan kapal di Malaysia.

van Dijk juga bersetuju dengan rakan sekerjanya, dan mengatakan walaupun pertemuan secara digital dengan peserta dari Malaysia dan Singapura sangat menyenangkan, mereka masih lagi belum menerokai peluang yang baru. Beliau juga menekankan betapa pentingnya untuk bertemu dengan pembuat keputusan dalam industri ketenteraan dan limbungan kapal secara bersemuka di acara PIB kan datang apabila sekatan Covid-19 dilonggarkan.